Selasa, 19 Mei 2009

2 penjenayah ditembak mati!

PETALING JAYA 19 Mei - Lagi kejayaan polis. Dua penjenayah mati ditembak dalam cubaan menculik seorang lelaki warga Myanmar di SS20/10, Damansara di sini, malam ini.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, kedua-dua suspek, Sharil Samsudin, 27, dan S. Sivanesan, 30, dari Shah Alam, mati di tempat kejadian.
Sebelum itu, suspek yang menaiki sebuah kereta Honda Civic berwarna kelabu dipercayai baru menculik seorang lelaki warga Myanmar kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian.

Bertindak atas maklumat orang ramai, kereta peronda polis berjaya mengesan kereta suspek.
Ketika dikejar, kereta yang dinaiki suspek hilang kawalan lalu melanggar kereta peronda polis itu.

Salah seorang daripada penjenayah itu hanya sempat melarikan diri sejauh 50 meter sebelum dipintas oleh sebuah lagi kereta peronda polis yang datang dari laluan bertentangan.
Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan berkata, penjenayah berkenaan bertindak agresif dengan melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis yang terpaksa membalas tembakan.

"Seorang lagi penjenayah, Sivanesan pula keluar dari kereta dan cuba menyerang anggota polis dengan parang menyebabkan dia turut ditembak mati," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau yakin lelaki Myanmar itu diculik bagi mengeluarkan wang dari mesin juruwang automatik (ATM). Hasnan berkata, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk rogol, samun dan dadah.

Jelasnya, mereka yang ditahan mengikut Ordinan Darurat baru dibebaskan dari Penjara Simpang Renggam, Johor, beberapa bulan lalu. Salah seorang penjenayah juga dikaitkan dengan kejadian samun di Puncak Alam, Shah Alam.

"Kita mendapati imej salah seorang daripada penjenayah itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) ketika mengeluarkan wang suspek di sebuah bank selepas kejadian itu,'' katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan masih terdapat saki-baki kumpulan itu yang masih bebas. - UM

Polis merampas sepucuk pistol dan parang daripada penjenayah terbabit. Hasil semakan mendapati kereta yang dipandu suspek juga kereta curi dilaporkan hilang oleh pemiliknya pada 6 Mei lalu di Subang Jaya.

Tiada ulasan: